Perancangan kewangan semakin penting
Wednesday, December 3, 2008
PETALING JAYA - Industri perancangan kewangan bakal menjadi perkhidmatan yang penting dalam pembangunan rantaian nilai bagi perkhidmatan pasaran modal dalam usaha memenuhi keperluan para pelabur tempatan pada masa depan.
Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Datuk Zarinah Anwar berkata, meskipun pembentukan industri kewangan agak kritikal tetapi ia perlu dimajukan untuk memastikan pelabur-pelabur tempatan berupaya mengakses perkhidmatan nilai tambah yang tinggi yang ditawarkan oleh perancang ekonomi.
Menurut beliau, walaupun industri perancangan kewangan masih lagi baru di Malaysia namun berdasarkan perspektif holistik, SC yakin beberapa inisiatif yang dilakukan akan menyumbang kepada persekitaran kondusif bagi momentum pertumbuhan industri tersebut.
Tambahnya, pertumbuhan bagi industri berkenaan banyak bergantung kepada jumlah produk yang ditawarkan di pasaran modal dan kepelbagaian serta kerumitan produk akan memerlukan penasihat kewangan.
Kata beliau, dalam konteks itu, SC telah mengambil pelbagai pendekatan liberalisasi untuk meluaskan pasaran produk sofistikated dan menyokong produk inovasi dan peluasan selaras dengan objektif pasaran modal tambahan yang telah memenuhi keperluan pelbagai pelabur.
''SC telah meluaskan pelbagai skim pelaburan kolektif yang kini menawarkan lebih banyak pilihan bagi kelas aset untuk portfolio seperti bon, unit amanah hartanah (REIT), pelaburan antarabangsa dan dana dagangan bursa,'' katanya ketika menyampai ucaptama Persidangan Penasihat-Penasihat Perancangan Kewangan Antarabangsa di sini hari ini.
Persidangan tahunan anjuran Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia itu diadakan sehingga Ahad ini.
Beliau berkata, di Malaysia, industri tersebut berupaya menawarkan lebih banyak produk daripada perancang persaraan, unit-unit amanah, pelaburan, perancangan hartanah, percukaian, pelaburan dalam pasaran saham, hutang, pengurusan risiko, pengurusan produk dan pengurusan kewangan perniagaan kecil.
Zarinah menambah, industri tersebut juga perlu bersama-sama membangunkan pasaran modal Islam yang komprehensif dengan meluaskan produk bagi memenuhi keperluan pelabur yang berminat untuk melabur dalam produk Syariah.
''Dalam hal ini, adalah penting bagi perancang kewangan untuk menyediakan keperluan produk dan perkhidmatan produk patuh Syariah seperti ekuiti, sukuk, unit-unit amanah, takaful, REIT dan sebagainya,'' ujar beliau.
Sementara itu, Zarinah yang ditemui selepas majlis tersebut berkata, walaupun pasaran liberalisasi Malaysia masih di peringkat asas namun SC sentiasa berbincang dengan kerajaan untuk membangunkan pasaran kewangan negara mengikut potensinya.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_02.htm
Posted bykhaifah at Wednesday, December 03, 2008 0 comments
Labels: pengurusan kewangan